Malam Merdeka Yang Lain Sikit


Boleh kata itu kali pertama aku tengok dekat dekat babi hidup atau mati. Sebelum itu aku cuma nampak babi di balik cermin hidangan restoran ataupun mengintai dari bucu lori. Maka aku macam tak pernah tengok babi, ambil gambar babi dari segala sudut sampai diperhatikan orang sekeliling. Aku buat tak tahu saja kepada pandangan orang dan juga bau binatang yang telah dibuang isi perutnya tu.

"You malay, kan? you reporter? Seorang lelaki bertubuh sasa menegur waktu aku tengah close up hidung babi. Dia nampak macam Jet Li yang berbangsa Hokkien, kerana kepalanya botak dan setahu aku hanya orang Hokkien saja yang mengadakan jamuan buat hantu hantu lapar di sini.


Colok colok mula dibakar pada hari kedua pesta hantu lapar yang berlangsung selama 3 hari di Tokong Tian Sheng

Dah banyak kali soalan sama diajukan sepanjang tiga malam mengikuti pesta hantu lapar di tokong Tian Sheng ni. Aku tak ingat jawapan kali ini, atau mungkin aku malas nak ingat, tapi Jet Li kasi aku kad dan menghulurkan tangannya yang besar dan berurat untuk bersalaman. Nama betul Jet Li ialah Alex, bertugas sebagai pembantu khas Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pandamaran. Di Kapar dia memegang jawatan AJK JKKK Biro Perpaduan Kaum Kampung Kapar.

Alex peramah orangnya. Kami bersembang sedikit tentang pesta hantu lapar. Menurut Alex, pesta ini diadakan pada bulan Ogos iaitu bulan ketujuh dalam kelendar cina. Orang cina percaya pada bulan ini pintu neraka akan terbuka dan hantu hantu lapar banyak berkeliaran di dunia manusia. Bulan ini ialah bulan hantu dan tidak ada orang cina yang mengadakan perkahwinan atau pindah rumah di bulan ini bagi mengelak nasib malang.

Pada bulan ini juga jamuan jamuan dan persembahan persembahan diadakan bagi memuaskan hantu “adik beradik dan sanak saudara yang ada dendam, macam mati kena bunuh, atau ada urusan yang belum selesai” kata Alex.  Di sesetengah tempat pesta hantu lapar juga dikenali sebagai pesta Phor Thor.

Phor Thor dengan Dewi Kuan Yin di atas kepala
Pengunjung melekatkan sejenis kertas emas di tangan Phor Thor
"Phor Thor ialah King Of Ghosts" Alex menerangkan. Di bangsal utama boleh dilihat patung besarnya yang diperbuat daripada kertas. Di atas kepala Phor Thor ada patung kecil Dewi Kuan Yin. Pada asalnya Phor Thor ialah Kuan Yin yang berubah bengis demi menakutkan hantu hantu. Phor Thor akan bertukar kembali menjadi Kuan Yin selepas menghantar hantu hantu ke akhirat.

Patung gergasi Phor Thor dibuat daripada kertas ialah patung paling besar di pesta hantu lapar
Barang barang yang tersusun di atas pelantar bukan barang kertas seperti yang biasa dilakukan di tempat lain. Selain babi ada kambing, ayam itik, mee segera, biskut, minyak masak, Milo, pencuci muka, sabun basuh, berus gigi, alat solek, alat tulis, seluar dalam, telefon bimbit, headfon, pinggan, bekas minuman dan beraneka barang barang harian yang biasa dilihat di pasaraya.


Antara barang barang persembahan untuk hantu hantu lapar. Semuanya barang betul

Nanti malam semua bakar kasi hantu” Kata Alex. Menurutnya di Indonesia ada kejadian pagar tapak upacara dirobohkan oleh orang orang tempatan yang berebut rebut mengambil barang barang persembahan sebelum dibakar.

Katanya lagi, beberapa tahun lepas persatuan pengganut Tian Sheng Gong pernah membakar sebuah kapal lengkap dengan televisyen, bilik tidur, bar, tandas dan dapur berhawa dingin yang berharga jutaan ringgit. Bagi mereka yang percaya, ia adalah usaha memastikan ketenangan adik beradik dan saudara mara di alam akhirat.

Pesta hantu lapar di Malaysia dan Singapura terkenal dengan konsert besar besaran yang dikenali sebagai Getai, tapi pesta di Kapar masih mengekalkan persembahan opera tradisi cina. Barisan depan penonton dikhaskan untuk hantu hantu sahaja. Alex menasihatkan aku supaya tidak menonton persembahan di barisan depan bagi mengelak ‘benda tak baik’. Setelah mendengar penjelasan Alex aku minta diri untuk meninjau pentas opera sementara menunggu upacara utama malam nanti.

Untungnya pengurus pentas membenarkan aku naik ke belakang pentas. Pengurus pentas juga bertindak sebagai pelakon, soundman, lighting man dan krew pentas. Seorang lagi krew pentas ialah nenek tua yang mungkin sama umur dengan mak aku. Mereka semua tak tahu cakap melayu. Inggeris pun terhad kepada yes and no. Tapi mereka selesa dengan kehadiran aku dan kamera. Pelakon pelakon langsung tidak kisah aku ambil gambar mereka bersolek dan bersiap.

Pelakon dan krew opera tidur di bawah pentas sepanjang pesta diadakan. 
Mungkin puan ini bintang utama opera ini. Dia tak tahu cakap melayu tapi sangat marah. Pada awalnya aku ambil gambar dari bawah pentas sebelum dia suruh aku naik pentas ikut pintu belakang.




Seorang pemain erhu berseluar pendek dan seorang percussionist yang berseluar panjang kelihatan sudah berada di tempat masing masing. Mereka berdua tak payah pakai baju pun. Cerita malam itu komedi tragedi. Ada babak nangis nangis dan ada babak kelakar.

Entah berapa lama beliau dah main percussion
Beliau mengikuti opera dari tepi tingkap dan memainkan muzik tepat pada masanya 



















Keadaan di belakang pentas agak panas terutama kalau pakai baju berlapis lapis. Peluh yang mengalir boleh merosakkan mekap.



Cerita malam itu banyak komedi
Pengurus pentas juga bertindak sebagai krew, soundman dan lightingman menunggu cue nak tukar lampu
Entah berapa lama beliau sudah berada dalam scene opera ni. Kebanyakan pelakon dan krew ialah orang orang tua 
Penonton menonton opera di belakang sedikit kerana ruang hadapan khusus untuk hantu hantu

Di luar pentas aku perhatikan orang dah makin memenuhi tapak pesta. Penonton penonton opera yang duduk di barisan belakang boleh dikira dengan jari. Adik beradik dan saudara sedang menyediakan meja jamuan untuk hantu hantu. Mereka membakar rokok dan menuangkan arak mahal ke dalam gelas sampai penuh.

Juadah untuk hantu hantu disediakan di atas meja panjang di tengah tapak pesta



Buah oren diletakkan pada binatang persembahan. Barang barang persembahan dicucuk bendera bendera putih


Colok colok juga dicucuk pada barang barang persembahan
Dua pegawai dari akhirat telah turun ke dalam tubuh dua pengamal yang terpilih untuk memeriksa barang barang persembahan yang sudah dicucuk colok dan bendera bendera putih. Kawasan itu dipenuhi asap colok yang menusuk mata dan hidung. Suasana agak menyeramkan. Aku cuba ambil gambar salah satu pegawai akhirat tapi dia tutup muka dengan kipas apabila ternampak kamera.

Pegawai akhirat yang berpakaian serba putih itu mengatakan sesuatu lalu pembantunya memanggil aku. “Latok mau cakap” katanya. Aku menghampiri ‘Latok’ dengan jantung berdebar debar. Latok mengatakan sesuatu yang aku tak faham dan diterjemahkan pembantunya.

You melayu kan? You reporter? Dari mana”

Saya bukan reporter. Saya dari Kampung Tok Muda sana” Aku jawab, menunggu soalan seterusnya. Latok bercakap bahasa cina lagi. Suara Latok kecil macam suara perempuan. Sambil bercakap dia mengipas muka.

Lu fotografer angkat gambar?”

Nak juga aku mengaku fotografer tapi ‘angkat gambar’ hanyalah alasan untuk tengok benda benda baru atau benda benda lama dari perspektif yang lain sikit. Aku hanya tukang tekan butang kamera murahan. Tapi jawapan itu tak sesuai untuk situasi ini.

Saya suka suka saja. Minggu lepas saya ada tangkap gambar tokong sebelah ma. Itu hari besar Datok Hassan. Saya suka budaya” Aku jawab.

Budaya?” Pembantu Latok seolah olah tak pernah mendengar perkataan itu. Aku memberi perkataan inggeris untuk budaya, ‘culture’. Dia berfikir sejenak sebelum menerangkan kata kata aku kepada Latok. Mungkin dia tokok tambah sedikit kerana panjang penerangannya. Aku lihat Latok terangguk angguk Dia berkata sebelum berlalu tanpa mempedulikan aku lagi.

Di mana ada pesta di situ ada kanak kanak. Mereka langsung tak takut hantu hantu dan bermain dengan gembira

Lepas temuduga dengan pegawai akhirat aku rasa lapar. Seperti biasa di mana ada pesta di situ ada gerai makanan dan minuman. Ada juga makan dan minum free di bawah khemah yang penuh dengan meja meja merah. Aku sempat sebat mee, daging yang tak nampak macam daging babi, kek dan air oren.

Sepanjang pesta aku melihat beberapa orang berbangsa idea turut menyertai upacara sembahyang di sini.



Sudah mengisi perut aku meninjau pula keadaan di bangsal Phor Thor. Kelihatan satu kumpulan yang agak meriah berlutut di altar dekat sayap kiri bangsal. Salah seorang daripada mereka memberitahu “no camera. Swith off phone” apabila melihat aku mendekati dengan kamera tergantung di leher.

Aku senyum semanis mungkin dan menyimpan kamera dalam beg. Seorang lelaki separuh umur dan berkaca mata berada di depan sekali menyanyi dengan penuh perasaan. Khalayak yang berlutut kelihatan menghayati lagu yang dinyanyikan. Suasana terasa syahdu. Aku ternampak tatu tatu pada kumpulan yang berlutut dan terus faham mengapa mereka tak suka kamera.

5 panglima yang bertanjak, bersampin dengan kuda masing masing. Taoism sangat dinamik dan fleksibel. Masyarakat taoist di Malaysia turut meresap semangat semangat tempatan ke dalam kepercayaan mereka. Datuk semangat semangat melayu dijauhkan sedikit daripada benda benda yang tidak disukai orang melayu seperti babi dan anjing. 
Tak lama kemudian kedengaran pengunguman di pembesar suara dan kelihatan orang ramai mengelilingi altar yang didirikan di atas sebuah pelantar di tengah tapak pesta. Mereka semua memegang colok. Nampaknya acara utama akan dimulakan. Beberapa orang masih meneruskan tugas mengalihkan meja jamuan untuk dijadikan tapak pembakaran.

Acara dimulakan dengan bacaan mentera dan sembahyang untuk nenek moyang. Kemudian sifu membaling gula gula, coklat, pencuci muka, buah oren, dan macam macam barang rambang ke belakangnya. Orang ramai terutama kanak kanak berebut nak menangkap barang barang yang dibaling. Sebotol pencuci muka hampir kena kamera aku lalu jatuh di lantai dan dipungut seorang amoi manis.

Amoi ni berjaya menyambut beberapa barang yang dibaling sifu




Selepas upacara baling barang selesai, orang ramai membuat satu barisan untuk menemui Huat Joo Kong, iaitu datuk besar Tian Sheng Gong. Datuk Huat telah turun kepada seorang pengamal berkulit gelap dan berpakaian hitam. Menurut cerita seorang wanita yang berada dalam barisan panjang itu, Huat Joo Kong tiga beradik tinggal di dalam gua “di China”. Apabila seekor ular syaitan mengganas, tiga beradik itu berganding bahu melawan ular hingga mereka berjaya membunuhnya. Tetapi wajah mereka bertiga bertukar hitam legam akibat terkena asap yang dihembus ular. Huat Joo Kong tiga beradik terkenal sebagai adik beradik yang banyak menewaskan hantu syaitan.

Mereka macam Hang Tuah, Hang Jebat adik beradik. Tapi tiga orang saja” kata Puan Tan.

Puan Tan mendapatkan nasihat Datok Huat 


Datuk Huat Joo Kong telah turun ke dalam tubuh pengamal ini









Upacara bertemu Datuk Huat berlangsung sampai pekerja pekerja siap melonggokkan semua barang barang persembahan untuk dibakar. Jam hampir pukul 12 tengah malam ketika patung Phor Thor dipindahkan dari bangsal utama ke tapak pembakaran di tengah tengah tanah lot kosong bersebelahan tokong.

Orang ramai yang mengerumuni tapak pembakaran mengibarkan bermacam macam bendera dan bersorak “Huat laaaa! Huat laaaa!”. Masa itu aku baru teringat rupanya malam itu malam merdeka. Orang di Dataran mengibarkan bendera Malaysia dan bertempik merdeka. Mercun mercun sedang memenuhi ruang angkasa di Putrajaya, sementara di sini beberapa orang lelaki menyalakan api dan membakar longgokan barang barang persembahan yang telah disimbah minyak tanah.



Dalam sekelip mata api jadi marak dan patung Phor Thor yang diperbuat daripada kertas dan buluh itu hangus terbakar. Seseorang memegang patung Kuan Yin yang telah dicabut dari kepala Phor Thor bagi memanggil dewi Kuan Yin kembali ke rupa asalnya yang penyayang setelah menghantar hantu hantu ke neraka.



Walaupun banyak barang mudah terbakar tapi memerlukan masa lama untuk membakar begitu banyak barang
Api makin liar menjulang tinggi, asap dan abu terapung naik ke langit. Bahang panas sampai ke muka walaupun aku berdiri agak jauh. “Sampai besok pagi pun tak habis bakar woo” aku dengar seseorang berkata dalam bahasa melayu pelat cina tapi tak nampak pun siapa yang bersuara. Semoga semua hantu hantu yang lapar sudah kenyang dan merdeka dari dunia sengsara ini.


0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Tentang Aku

My photo
Email terkapardikapar@gmail.com untuk sebarang urusan.